GERGASI Eropah, Jerman berpeluang mencipta sejarah dengan menjulang trofi Piala Dunia Hoki Remaja buat kali ketujuh jika menumbangkan Perancis pada final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Menariknya, Malaysia dianggap sebagai ‘bumi bertuah’ buat Jerman yang pernah merangkul tiga kejuaraan sewaktu edisi Kuala Lumpur 1982, Ipoh 1989 dan Johor Bahru 2009.
“Apabila kami menjejak kaki ke bumi Malaysia, ia pantas mengembalikan saat bersejarah. Kami mahu mengekalkan rekod bersih dan ini mendorong pemain untuk turun menang buat kali keempat.
“Tak mudah berdepan Perancis yang belum kalah dalam kejohanan ini. Ini final dan kami sedia menghadapi segala kemungkinan nanti,” kata jurulatih Jerman, Rein Van Eijk.
Perancis juga mengintai peluang mendakap gelaran pertama mereka dengan pencapaian terbaik muncul naib juara edisi 2013 di New Delhi, India.
Tuan rumah Sukan Olimpik Paris 2024 itu pernah menewaskan Jerman 2-0 ketika kedua-duanya bertemu dalam saingan Kumpulan B.
Bagaimanapun, pengendali Perancis, Matthias Dierckens lebih menganggap anak-anak buahnya sebagai underdog jika dibandingkan reputasi hebat Jerman menjelang final nanti.
“Tidak, kami bukan pilihan. Jerman adalah pilihan final. Keputusan peringkat kumpulan bukan ukuran. Jerman jika tidak gembira adalah satu petanda bahaya untuk kami dalam perlawanan akhir nanti.
“Kami tiada peluang pendedahan di pentas antarabangsa seperti mereka. Ini membuatkan mereka sebagai pilihan untuk menang. Tetapi saya perlu berkata pada hari terbaik, Perancis boleh menewaskan mana-mana pasukan,” katanya.
India akan membuat perhitungan dengan Sepanyol dalam penentuan tempat ketiga dan keempat petang ini.