SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan khas bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu melibatkan pekerja asing di negara ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, antara perkara yang akan disentuh dalam perbincangan itu adalah berkaitan dasar serta operasi pekerja asing terutamanya yang membabitkan bidang kuasa di bawah kedua-dua kementerian.
Menurutnya, ini termasuk cadangan beberapa pihak sebelum ini yang mahu isu berkaitan pekerja asing diletakkan di bawah satu kementerian sahaja.
Sim pada masa yang sama turut meminta agar diberikan lebih masa untuk meninjau serta meneliti peranan yang dimainkan oleh jabatan serta badan berkanun di bawah KSM sebelum membuat pengumuman berkaitan perkara itu dari semasa ke semasa.
“Kita akan cuba buat secepat mungkin (perbincangan bersama KDN) selepas kita dapat tarikh (yang sesuai).
“Buat masa ini, bagi sedikit masa kepada saya termasuk untuk meninjau kementerian saya terlebih dahulu,” katanya pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Bukit Mertajam di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM230,000 untuk menyiapkan tiga buah projek di Hospital Bukit Mertajam bermula Oktober lalu.
Katanya, ini termasuk projek menaik taraf sistem penyaman udara dan elektrik, menbekalkan peralatan di zon menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu serta memasang kipas di zon yang sama. – KOSMO! ONLINE