ISKANDAR PUTERI – Menteri Kesihatan baharu, Dr. Dzulkefly Ahmad berkuasa untuk menentukan sama ada keputusan meneruskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan di negara ini akan diteruskan atau tidak.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, banyak kajian dijalankan termasuklah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara tersebut sebelum ini.
Sehubungan itu katanya, Dr. Dzulkefly boleh merujuk kajian-kajian berkenaan sebelum membuat keputusan berhubung pelaksanaan perkara tersebut.
“Sudah banyak kajian dibuat termasuklah ketika saya menjadi, jadi Dr. Dzulkefly boleh merujuk kajian-kajian itu yang dijalankan pelbagai pihak, termasuk KKM sendiri.
“Beliau seterusnya boleh buat keputusan sama ada perkara itu (ganja dalam perubatan) hendak diteruskan atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Persidangan Dewan Muda Johor 2023, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung isu penggunaan ganja dalam bidang perubatan di negara ini.
Pada 25 Ogos tahun lalu, Khairy Jamaluddin sewaktu menjawat jawatan Menteri Kesihatan pada lawatan kerja di Bangkok, Thailand memaklumkan kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan ganja dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun lalu manakala dasarnya akan dilaksana tahun ini.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan di negara ini.
Namun, perkara tersebut terhenti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang menyaksikan kerajaan persekutuan baharu ditubuhkan. – KOSMO! ONLINE