SETIU – Hasil berbudi pada tanah memberi pendapatan lumayan buat seorang petani yang mampu menjual hampir empat tan ubi kayu sehari sepanjang musim tengkujuh ini.
Muhamad Azizan Mat Zin, 30, berkata, ladang ubi kayu seluas kira-kira lapan hektar yang diusahakannya bersama sepupunya, Taufik Abd Rahim, 29, sudah mula mengeluarkan hasil sejak pertengahan bulan lalu.
Beliau berkata, jualan ubi kayu diusahakan mereka laris sehingga mampu memperolehi purata RM6,000 sehari.
“Saya membeli lebih 20,000 batang anak pokok ubi kayu pada lima bulan lalu untuk ditanam di tanah yang sebelum ini digunakan untuk tanaman tembikai.
“Batas yang kosong setelah buah tembikai selesai dituai tersebut ditanam dengan anak pokok ubi kayu,” katanya di Kampung Amir, Jerteh di sini semalam.
Muhamad Azizan berkata, dia hanya menggunakan baja tembikai yang tersisa untuk pokok ubi kayunya namun hasilnya amat memberangsangkan.
Jelasnya, pokok-pokok ubi kayu yang menggunakan baja tembikai tersebut cepat matang dalam tempoh lebih kurang empat bulan berbanding kebiasaannya enam bulan.
“Ubi kayu dijual pada harga borong, RM1.50 sekilogram manakala RM3 bagi jualan runcit.
“Permintaan amat tinggi bukan sahaja di dalam Terengganu malah negeri-negeri berhampiran seperti Pahang dan Kelantan,” katanya.
Muhamad Azizan berkata, dia tidak menang tangan untuk menuai ubi kayu sehingga terpaksa mengupah 10 orang pekerja bagi membantunya.
Dia berkata, setiap hari sejak hujung bulan lalu, mereka menuai ubi kayu dua kali sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya bercadang serius mengusahakan ubi kayu termasuk di luar musim tengkujuh selain tembikai pada masa hadapan,” katanya.