KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Kelantan meningkat kepada 2,854 orang meskipun cuaca panas dan cerah di kebanyakan kawasan sepanjang hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa itu terdiri daripada 838 keluarga dan mereka berlindung di 16 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang tadi.
Menurutnya, sebuah PPS di Machang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong yang dibuka malam tadi ditutup pada pukul 3 petang tadi.
“Setakat ini, tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai masih terjejas banjir.
“Daripada keseluruhan jumlah mangsa, seramai 2,402 mangsa berlindung di sembilan buah PPS di Pasir Mas, empat PPS di Tanah Merah (317) dan tiga PPS di Kuala Krai (135),” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, semua sungai-sungai utama di negeri berada pada paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang melepasi tahap bahaya.
Katanya, selain itu, paras air di Sungai Semerak di Melor juga sudah melepasi bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE