KUALA KRAI – Kira-kira 200 penduduk di Kampung Belanga B dan Kampung Jelutar di sini terpaksa melalui laluan lebih jauh untuk ke bandar Kuala Krai selepas Jambatan Kampung Belanga ditenggelami banjir sejak Selasa lalu.
Jambatan utama bagi kedua-dua buah kampung itu sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh atau hujan lebat terutamanya apabila paras air Sungai Pahi meningkat.
Seorang penduduk, Ahmad Hidayat Shamsul Kamar, 21, berkata, air sungai akan melimpah ke tebing semasa hujan lebat sekali gus menenggelamkan jambatan itu sehingga penduduk kampung seberang sungai terkepung.
Menurutnya, meskipun air banjir semakin surut sejak semalam, Jambatan Kampung Belanga ketika ini masih tidak boleh dilalui.
“Jambatan ini menjadi laluan utama penduduk kampung untuk keluar ke bandar Kuala Krai dengan jarak 10 kilometer (km).
“Disebabkan Jambatan Kampung Belanga tenggelam, penduduk terpaksa menggunakan jalan lain yang dianggarkan sejauh 30 km untuk ke bandar,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi penduduk, Che Abdullah Che Yunus, 65, berkata, beberapa urusan penduduk setempat termasuk untuk keluar bekerja tergendala sejak jambatan berkenaan ditenggelami air.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah membawa masalah itu ke Parlimen.
Katanya, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Wilayah Kuala Krai sudah turun memantau jambatan tersebut. – KOSMO! ONLINE