fbpx

Semua pihak terikat Kod Sukan Selamat – Hannah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) semasa merasmikan Kejohanan Ragbi Sentuh Pink Blitz (PORTO) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan Kod Sukan Selamat tidak hanya tertakluk kepada jurulatih semata-mata, tetapi turut melibatkan semua pihak yang terlibat dalam bidang sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, semua pihak termasuk sekolah-sekolah perlu memainkan peranan dalam menguar-uarkan Kod Sukan Selamat bagi memastikan penyampaiannya sampai ke peringkat akar umbi.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap trend video-video tular melibatkan tindakan kurang wajar dalam sukan kerana ia mungkin memberi pengaruh tidak sihat kepada semua pihak, terutamanya murid-murid sekolah.

“Apa yang saya nak tekankan tahun depan adalah pelaksanaan Kod Sukan Selamat. Selepas dilancarkan di Putrajaya, kita mahu pastikan ia sampai ke peringkat ke akar umbi. Saya akan minta MSN (Majlis Sukan Negara) edar poster-poster di semua sekolah.

“Biasanya orang lihat Kod Sukan Selamat hanya untuk jurulatih, sebenarnya sesiapa sahaja yang masuk ke ruang sukan ada tanggungjawab untuk patuh termasuk ibu bapa sendiri. Saya tidak mahu tengok video ibu bapa marah pengadil atau pasukan lawan.

“Sekarang adalah zaman video dan semua orang akan tahu, berbeza dengan dahulu yang tidak sampai ke peringkat berita. Jika tiada tindakan, orang akan anggap ia satu tabiat yang boleh diterima,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Ragbi Sentuh Pink Blitz (PORTO) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut menggesa penganjur supaya memastikan Kod Sukan Selamat dipatuhi semua peserta bagi memastikan pertandingan bebas daripada insiden tidak diingini.

“Penganjur juga perlu ada tanggungjawab supaya setiap pertandingan sukan berjalan lancar. Sebab itu bila lihat video baru-baru ini di peringkat kelab, kita minta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bantu siasatan.

“Setiap penganjur perlu pastikan mesej itu sampai. Kalau nak main, ini tatakelola bagaimana untuk main dan pastikan ia selamat. Ibu bapa juga perlu mainkan peranan selain guru-guru tidak perlu takut kepada ibu bapa,” ujar Hannah.

Dalam perkembangan lain, penganjuran PORTO yang julung kali diadakan melibatkan 20 pasukan dari sekolah-sekolah seluruh negara bertujuan untuk memupuk minat murid-murid perempuan dalam sukan ragbi sentuh.

Hannah dalam ucapannya turut menjelaskan, peruntukan RM15,000 diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara untuk melakukan kerja menaik taraf dengan keutamaan memperbaiki keadaan padang terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI