fbpx

Program MEKAR, BeSEMART gilap bakat usahawan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Asyraf mendapat bimbingan menjadi usahawan kopi hasil bimbingan daripada MEKAR dan BeSEMART.

WALAUPUN sekadar berniaga kopi di jalanan, siapa sangka seorang usahawan muda mampu meraih pendapatan dengan purata jualan bulanan sehingga RM20,000 sejak Mei lepas.

Mempertaruhkan keunikan bancuhan kopi premium dengan jenama, Dr. Kafein, Muhammad Asyraf Azharuddin, 28, yang berasal dari Langkawi berkata, beliau terjun ke dunia keusahawanan sejak 2021 setelah mengikuti kursus barista di bawah program Yayasan PETRONAS empowerNCER yang merupakan salah satu inisiatif di bawah program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) untuk menyediakan latihan kemahiran dan keusahawanan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Saya adalah penggemar kopi tegar dan berhasrat untuk menjadi usahawan dalam bidang ini.

“Pada 2021, saya ternampak satu iklan di media sosial tentang program MEKAR anjuran Yayasan PETRONAS ini dan terus mendaftar.

“Program ini membuka pe­luang kepada saya untuk mendalami de­ngan lebih lanjut mengenai selok-belok dunia kopi dan juga barista, yang mana Yayasan PETRONAS dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengadakan kursus ini setiap hujung minggu selama enam bulan.

Muhammad Asyraf di hadapan kios Dr. Kafein.

“Pelbagai silibus daripada kursus ini saya pelajari tentang kopi termasuk seninya dan sejak dari itu saya beranikan diri terjun ke dalam bidang perniagaan kopi premium.

“Kini, kopi jenama Dr. Kafein semakin dikenali,” katanya ketika ditemui di premis Dr. Kafein di Jalan Sungai Petani Kampung Sungai Ibor di Gurun baru-baru ini.

Muhammad Asyraf yang telah memiliki pengalaman kerja dalam pelbagai jenis bidang sebelum ini mengakui, penyertaan dalam program Yayasan PETRONAS empo­werNCER itu banyak membantu memperbaiki kemahirannya bukan sahaja sebagai seorang barista, malah keusahawanan se­perti selok-belok penjenamaan dan pemasaran produk.

“Bila saya sertai program ini saya didedahkan dengan terperinci daripada membuat kopi hingga pemasaran termasuk bagaimana mengambil gambar produk untuk promosi.

“Setelah habis kursus saya berniaga di hadapan rumah dahulu kerana kurang modal, hanya berbekalkan kit permulaan barista yang saya dapat termasuk mesin kopi daripada program MEKAR. “Apabila ada modal barulah saya buka kedai,” katanya.

Muhammad Syirazi bakal membuka kedai burger dengan jenama sendiri hasil bimbingan program MEKAR.

Bercerita lanjut, beliau berkata, dengan misi untuk mengembangkan perniagaan itu sehingga ke peringkat francais kelak, Yayasan PETRONAS turut memberi peluang kepadanya untuk menyertai program BeSEMART.

“Jika Program Yayasan PETRO­NAS empowerNCER menjadi pen­­cetus minat saya dalam perniagaan kopi ini, BeSEMART pula membantu saya untuk memastikan operasi perniagaan yang betul sekali gus membuka peluang dan memberi motivasi.

“Program BeSEMART ini sangat membantu saya menguruskan perniagaan dengan baik sebab saya ada data melalui peranti yang saya peroleh setelah menyertainya.
“Sebelum ini tanpa sedar saya banyak menghabis masa dan wang untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Tetapi dengan data daripada peranti ini saya dapat melihat semua perjalanan operasi termasuk kewangan syarikat.

“Misalannya, data tentang jualan yang menunjukkan waktu masa yang perlu saya tambah pekerja kerana pelanggan ramai ketika itu atau barang yang perlu saya beli dan tidak perlu. Semua itu banyak membantu,” katanya yang gigih melatih anak-anak muda dalam bidang barista.

Seorang lagi usahawan muda dari Pendang, Muhammad Syirazi Sharif, 28, juga mengakui bertuah apabila terpilih menyertai program Yayasan PETRONAS empowerNCER dan BeSEMART sejak awal tahun ini dalam usaha memperkukuhkan perniagaan bakeri­nya, Bread Mansion.

“Saya sertai Yayasan PETRONAS empowerNCER pada Februari lepas selama lima bulan bagi kursus penapaian iaitu berkaitan bakeri.

Muhammad Syirazi (tengah) bersama wakil dari Yayasan Petronas dan BeSEMART di IKS Mada, Jenun, Sik.

“Ia banyak membantu kerana NCIA dan Yayasan PETRONAS bukan sahaja memberi ilmu berkaitan melalui kursus itu tetapi juga menerusi pemantauan.

“Kursus seperti ini berjaya memotivasikan saya untuk berusaha keras membangunkan perniagaan ini, walaupun pada pe­ringkat awal banyak cabaran saya tempuh.

“Saya merupakan graduan Ki­mia Minyak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi terjun ke dalam dunia bakeri kerana saya memang minat berniaga sejak kecil kerana mengikut ibu saya (Jamilah Abu Bakar, 58) yang juga ahli perniagaan,” katanya.

Menurut Muhammad Syirazi, Bread Mansion kini menghasilkan roti burger untuk pasaran Kedah dan Pulau Pinang dengan kuantiti pengeluaran sehingga 700 biji sehari.

“Dulu saya tidak fokus terhadap pembuatan roti burger sebaliknya buat macam-macam jenis pastri dan dijual di kedai dan vendor. Ketika itu bisnes sangat teruk kerana saya cuma untung RM50 sahaja sebulan.

“Saya juga akan membuka bisnes menjual burger jenama sendiri dalam masa terdekat iaitu Ladyburg, menggunakan roti dan patti burger saya sendiri,” katanya.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik ini yang terpilih menyertai program BeSEMART menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menguruskan perniagaan Bread Mansion dengan teratur terutama dari segi kewa­ngan.

“Sejak Mei lepas saya menggunakan peranti yang disediakan oleh program BeSEMART ter­masuk satu dashboard yang membolehkan saya memantau sepenuhnya jualan dan aliran wang keluar masuk.

“Dahulu cuma pakai Excel tetapi perisian itu membuatkan saya terpaksa memasukkan semua data secara manual sehingga membuatkan operasi tidak cekap dan membuang masa.

“Kini, pengurusan ke­­­wang­an melalui alat peranti yang di­­bekalkan sebagai peserta BeSEMART ini sangat cekap.

“Disebabkan itu, saya ada data yang menyeluruh tentang operasi perniagaan ini.

“Cadangan untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kilang dan premis bur­ger perlukan pe­ngurusan yang cekap dan ini sangat penting. Lagipun sepanjang tempoh sembilan bulan ini, saya akan dipantau dan dibim­bing oleh tenaga BeSEMART,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI