KLUANG – Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas menghadiri Majlis Santapan bersama Sultan Johor di Dataran Tasek Kluang disini petang semalam.
Mohamad Shahfullah Ab Manan, 29, berkata, sebelum kejadian berlaku, ayahnya, Ab Manan Keri, 73, keluar ke bandar Kluang bersama kakak dan adiknya kira-kira pukul 2 petang.
Katanya, ketika kakak dan adiknya membuat urusan di sebuah bank di bandar Kluang, ayahnya yang lengkap berpakaian baju Kelab Veteran Komando berjalan kaki ke Dataran Tasek untuk menghadiri Majlis Santapan itu.
“Ayah adalah seorang pesara tentera dari Rejimen Gerup Gerak Khas (GGK) dan ketika pergi ke majlis tersebut menggunakan baju veteran lengkap dengan beret hijau Komando.
“Selepas majlis berakhir kira-kira pukul 4 petang, hujan lebat berlaku sehingga menyebabkan banjir kilat di sekitar Dataran Tasek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Shahfullah lagi, selepas menunggu hingga pukul 7 petang, ayah tidak munculkan diri sebelum kakak menghubunginya untuk memaklumkan tentang kejadian itu.
Ujarnya, usaha mencari di sekitar bandar Kluang dilakukan oleh keluarga terdekat namun hanya menemui beg sandang yang dibawa ayahnya ke majlis berkenaan di Jalan Ismail berhampiran Kelab Melayu Kluang.
“Sehingga pagi ini, ayah masih belum ditemui walaupun usaha pencarian dilakukan hingga lewat malam tadi dan akan terus dicari pada pagi ini.
“Ayah tidak mempunyai masalah ingatan dan tiada masalah kekeluargaan antara kami, orang ramai yang mengetahui kedudukan ayah diharapkan dapat menghubungi saya di talian 017-783 3650,” katanya. – KOSMO! ONLINE