JOHOR BAHRU – Bekas pemandu e-hailing, Mohd. Ridzuan Nuri, 38, tekad mencuba apa sahaja rawatan bagi mengubati masalah gout tahap kritikal dialaminya sejak setahun lalu untuk membolehkannya kembali mencari rezeki untuk menyara keluarga.
Dia kini bergantung kepada kerusi roda dan tongkat untuk bergerak.
Katanya, sebelum ini dia buntu setelah doktor menyatakan tiada rawatan khusus bagi penyakitnya setelah banyak benjolan ‘thopi’ muncul di badannya,
terutama di tangan dan kaki.
“Saya mula mengalami gout sejak tiga tahun lalu dan keadaan bertambah teruk tahun lalu. Walaupun dimaklumkan tiada rawatan khusus, saya tidak boleh berputus asa dan teruskan ikhtiar mencari penawar.
“Saya memohon Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mempertimbangkan sebarang rawatan yang sesuai bagi menghilangkan benjolan ini,” katanya di Kampung Plentong Baru, Masai, di sini kelmarin.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, sejak setahun lalu dia bergantung kepada rawatan alternatif termasuk bekam dan rawatan alternatif sebulan sekali.
Ujarnya, dia berharap dengan cara menjaga pemakanan, berpuasa dan hanya makan masakan vegetarian, benjolan ‘thopi’ yang dialami di seluruh badan akan berkurangan dan hilang.
Kebimbangan Mohd. Ridzuan ketika ini ialah keadaan penyakitnya semakin teruk ketika berdepan masalah kewangan setelah dia hilang upaya untuk mencari rezeki memandangkan isterinya tidak bekerja.
Katanya, dia masih memiliki tanggungan bayaran bulanan kereta RM450 sebulan, selain perbelanjaan dapur serta persekolahan ketiga-tiga anaknya berusia enam hingga 10 tahun.
Nasib Mohd. Ridzuan mendapat perhatian Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam apabila beliau menyampaikan sumbangan barangan dapur dan elektrik bernilai RM1,000 kelmarin.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Mohd. Ridzuan menerusi akaun Public Bank 6867-2085-32.