PETALING JAYA – Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam mengumumkan, pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu adalah sejajar dengan pelan penggantian dalaman TNB.
Jelas TNB menerusi satu kenyataan, ia bagi memastikan proses peralihan tampuk kepimpinan berlaku dengan lancar dan sempurna.
“Justeru, TNB merakamkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Kewangan Diperbadankan, atas persetujuan melantik Ketua Pegawai Operasi (COO) TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan sebagai Presiden dan CEO.
“Ia bagi menggantikan Datuk Seri Ir. Baharin Din yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 29 Februari 2024,” menurut kenyataan itu.
Semalam, TNB dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia mengumumkan, pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.
Sementara itu, TNB turut mengumumkan pelantikan Pengurus Kanan, Ali Munawar Salim sebagai Setiausaha Syarikat mulai 1 Januari 2024, bagi menggantikan Norazni Mohd Isa yang tamat perkhidmatan.
“Peralihan kepimpinan dalaman yang lancar itu adalah demi kesinambungan hala tuju asprasi Reimagining (RT) yang sedang giat dilaksanakan melalui Peralihan Tenaga Bertanggungjawab dengan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE