KODIANG – Seorang pemuda maut dipercayai terkena mata pemotong mesin elektrik dalam kejadian di rumahnya di Kampung Pida Lama, di sini semalam.
Mangsa, Muhammad Hafizad Ibrahim, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kaunter Balai Polis Kodiang menerima panggilan daripada seorang pengadu pada pukul 5.30 petang berhubung kematian lelaki berkenaan di lokasi kejadian.
“Ekoran itu pada pukul 5.55 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama anggota Balai Polis Kodiang tiba di lokasi.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan berlunjur dan di atas lantai berdekatan dengan mata pemotong mesin elektrik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, kejadian yang menimpa mangsa yang masih bujang itu disedari oleh dua adik beradiknya yang berada di rumah itu.
“Mangsa adalah anak keempat daripada enam beradik, dan mempunyai kelulusan daripada Kolej Matrikulasi Tambun Tulang di Perlis. Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua adiknya.
“Salah seorang adiknya yang berusia 14 tahun ternampak abangnya terbaring dengan luka di leher berdekatan dengan mesin pemotong besi dan tidak sedarkan diri sewaktu pergi ke stor untuk mengambil barang,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan bapa mangsa, anaknya dipercayai demam sejak empat hari lalu dan belum pulih sepenuhnya.
“Pegawai dan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan hanya terdapat kecederaan di bahagian leher dipercayai akibat terkena bilah pemotong besi mesin elektrik.
”Pemeriksaan lanjut pada mayat juga dapati tiada tanda-tanda pergelutan, tiada tanda kemalangan atau mangsa cuba membunuh diri. Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan,” katanya.
Rodzi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE