SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak warga asing, November lalu.
Tertuduh, B. Mugilan,26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja merompak beg lelaki Filipina di Lengkok IKS, Simpang Ampat di sini pada pukul 8.45 malam, 29 November lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan. Bagaimanapun, tertuduh yang bergaji RM1,500 merayu diberikan jaminan atas alasan perlu menanggung ibu yang menghidap penyakit darah tinggi.
Hakim Noor Aini membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai. Sebutan semula kes pada 15 Januari 2024. -KOSMO! ONLINE