GUA MUSANG – Lebih 100 pelajar Orang Asli di kawasan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis (Blok A) di sini terpaksa bergadai nyawa melalui tiga jambatan balak yang uzur untuk ke sekolah setiap hari.
Jambatan tersebut dibina oleh pihak pembalak hampir 30 tahun lalu dan menjadi laluan lebih 4,000 penduduk Orang Asli di pos pedalaman seperti Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, kesemua pelajar dari sembilan buah kampung RPS Kuala Betis itu menggunakan jambatan tersebut yang merupakan laluan utama untuk ke sekolah masing-masing.
Mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis dan Sekolah Menengah Kebangsaan Panggung Jaya.
“Penduduk akan berdepan masalah setiap kali hujan lebat apabila jambatan Sungai Bawik, jambatan Sungai Kaled dan jambatan Sungai Pusar yang menjadi laluan kenderaan syarikat pembalak dan perladangan kerap rosak dan runtuh.
“Jambatan Sungai Bawik sudah tidak dapat dilalui kenderaan pada minggu lalu kerana runtuh.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik kontraktor yang membawa pesakit Orang Asli hilang kawalan dan terjatuh dalam lubang besar di jambatan Sungai Kaled kelmarin (Selasa),” katanya ketika ditemui di Kampung Langsat semalam.
Sudin memberitahu, masalah jambatan uzur itu bukan sahaja mengancam nyawa pelajar, tetapi juga mendatangkan masalah kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga menghadapi masalah apabila tidak dapat masuk ke kawasan penempatan itu untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Syarikat pembalakan mengambil masa lebih seminggu untuk membaiki jambatan dengan bantuan penduduk. Jadi, saya amat berharap pihak berkaitan dapat membantu baik pulih atau bina jambatan baharu yang lebih kukuh untuk kemudahan penduduk di sini,” katanya.
Sementara itu, penduduk Orang Asli, Asri Alig, 45, pula berkata, keadaan bertambah bahaya ketika hujan lebat menyebabkan aliran air sungai deras sehingga jambatan runtuh.
“Jika tiga jambatan kayu balak itu runtuh, penduduk yang kebanyakannya menunggang motosikal sukar untuk keluar masuk kampung ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan mengesahkan pihaknya menerima aduan dan kini dalam proses untuk mengambil tindakan selanjutnya.