LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe mempertahankan anak-anak buahnya selepas gagal menamatkan saingan Liga Juara-Juara di tempat ketiga untuk merebut sekurang-kurangnya slot ke Liga Europa.
The Magpies tewas 1-2 kepada AC Milan di St. James Park awal pagi semalam, sekali gus menamatkan perjuangan mereka di pentas Eropah musim ini.
Kekalahan itu meranapkan impian Newcastle yang berpeluang untuk kekal bermain di Liga Europa sekiranya keputusan berakhir seri walaupun Howe sebelum ini menjelaskan mereka turun dengan misi memenangi aksi tersebut.
“Kami mahu layak ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara dan itulah niat sebenar kami sebelum perlawanan ini bermula. Jika dilihat kepada gol yang kami lepaskan, ia terhasil daripada kesilapan yang sebenarnya boleh berlaku dalam apa sahaja situasi.
“Saya lebih suka untuk bermain secara menyerang dan cuba memenangi perlawanan daripada memikirkan sebaliknya. Malangnya, ia tidak berlaku, jadi kami perlu akur dan menerima keputusan ini,” kata Howe.
Terdahulu, Joelinton membuka jaringan buat Newcastle, namun di awal babak kedua Christian Pulisic kembali menyamakan kedudukan sebelum Samuel Chukwueze meledak jaringan kemenangan Milan.
“Sebenarnya agak sukar untuk kami menerima kekalahan ini. Saya cukup kecewa dengan gol pertama pasukan lawan kerana saya fikir itulah detik penting memisahkan perlawanan ini.
“Kami dihukum pada lewat permainan apabila bolos buat kali kedua ketika mencari gol kemenangan,” jelas Howe. – AGENSI