LIPIS – Dua mayat wanita penduduk Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut pedalaman Ulu Jelai selamat dihantar ke kampung masing-masing untuk disemadikan dari Unit Forensik, Hospital Lipis pagi ini.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata kedua-dua mayat tersebut selamat dihantar ke kampung masing-masing untuk disemadikan.
“Mayat Wak Sai Bah Ema berusia 48, dihantar ke Kampung Lenjang menggunakan kenderaan JAKOA Pekan, pada pukul 8.30 pagi.
“Mayat Erra Fazira Hamzah berusia 27 tahun dihantar ke Kampung Sinderut menggunakan kenderaan JAKOA Cameron Highlands, pada pukul 9.45 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Johari, Jakoa Pahang sebenarnya maklum serta cakna masalah yang dihadapi oleh waris berkenaan dan urusan penghantaran kedua mayat itu ke kampung masing-masing segera dilakukan apabila kenderaan berkenaan tiba di Lipis hari ini.
Ujarnya, beliau berterima kasih kepada semua pihak yang turut membantu termasuk Pejabat Menteri Besar Pahang melalui wakilnya di Lipis. – KOSMO! ONLINE