PETALING JAYA – Selepas melalui konflik rumit, penyanyi Ernie Zakri akhirnya akan menyanyikan sendiri lagu Astana pada hari kedua, Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38), esok.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia (UMM) yang mewakili Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak syarikat rakaman Rocketfeul yang pernah menaungi Ernie, menghubungi mereka, semalam.
“Rocketfuel ada menghubungi UMM untuk berbincang. Selepas mengambil kira banyak perkara, selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, maka UMM bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan esok.
“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM menyerahkan perkara tersebut kepada UMM untuk membuat keputusan,” ujar syarikat rakaman tersebut menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Pada masa sama, UMM juga tidak mahu isu mengenai lagu Astana ini terus berpanjangan dan diperdebatkan, selain berharap agar pihak terbabit dapat mencari solusi terbaik.
Sementara itu, Erni berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana di pentas SFMM38 yang bakal berlangsung pada hari kedua, esok.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sebagai penyanyi asal dan juga komposer bagi lagu Astana, sudah tentu saya sendiri mahu menyanyikan lagu tersebut.
“Mana mungkin tidak. Malah, saya tidak pernah berkata atau mengeluarkan kenyataan untuk tidak mahu atau menarik diri daripada menyanyikan lagu tersebut.
“Jadi, selepas melalui proses perbincangan panjang antara semua pihak, selain label UMM sendiri tiada apa-apa halangan, maka saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk menyanyikan lagu Astana,” jelasnya.
Pada masa sama, Ernie turut mengucapkan penghargaan kepada UMM kerana sentiasa memahami dan percaya bakat yang ada pada dirinya.
“Terima kasih sekali lagi kepada pihak UMM yang sentiasa memahami dan percaya pada bakat saya.
“Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa mengambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.
Terdahulu, kecoh apabila lagu Astana ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang dicalonkan dalam SFMM38 tahun ini, digantikan oleh penyanyi Nadeera.
Selepas perkara tersebut tular dan peminat mendesak bekas syarikat rakaman yang pernah dinaungi Ernie iaitu Rocketfuel Entertainment memberi penjelasan, mereka mendakwa Ernie yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu tersebut dalam SFMM38.
Bagaimanapun, Ernie mendakwa tidak tahu apabila namanya digugurkan ketika pengumuman 30 lagu yang layak ke SFMM38, baru-baru ini.
Kate Ernie, keputusan penukaran penyanyi untuk lagu berkenaan tanpa sebarang makluman seolah-olah tidak menghormati dirinya sebagai penyanyi asal.
Malah, isteri kepada penyanyi, Syamel itu juga berkata, jika perkara tersebut berterusan (lagu Astana dinyanyikan Nadeera), dia bersama komposer lain terlibat akan menarik diri daripada SFMM38.
Sementara itu, penyanyi Nadeera ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia telah diminta oleh syarikat rakaman Rocketfeul Entertainment untuk menggantikan Ernie, tanpa mengetahui punca masalah sebenar.
Malah, penyanyi itu turut beranggapan bahawa Ernie dan juga Rocketfeul telah pun berbincang dan bersetuju untuk Astana dinyanyikan olehnya semasa SFMM38, sebelum isu sebenar dibangkitkan.
Bagaimanapun, Nadeera tidak berkecil hati, malah menyokong dan bersetuju jika Astana dinyanyikan sendiri oleh Ernie, memandangkan lagu tersebut adalah nyanyian dan ciptaannya sendiri. – KOSMO! ONLINE