PETALING JAYA – Siapa yang perlu tanggung kos bersalin? Suami, isteri atau lebih baik dibahagi sama rata?
Pakar Kewangan dan Motivator, Dr. Azizul Azli Ahmad berkata, agama secara jelas sudah menggariskan tanggungjawab suami sebagai imam dalam solat dan ketua keluarga.
“Kita hidup pada zaman lelaki lebih pandai menari daripada bersilat mempertahan diri. Lelaki zaman ini sudah pandai pakai bedak muka apabila keluar sesama kawan lelaki dan wanita.
“Bila bab bayaran buat anak, masih bertanya. Kenapa hanya dia yang perlu bayar? Mengapa tak bahagi dua?
“Dunia kesamarataan gender (jantina) antara lelaki dan wanita sedang melanda. Semua benda kena bahagi dua, isteri bayar rumah sang suami bayar kereta. Belanja kena sama rata,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook.
Tambah Azizul, dunia kini sudah berubah dan ramai lelaki percaya bahawa semua perkara boleh dikongsi termasuklah kos bersalin
Malah, semakin ramai yang tidak mempunyai rasa malu dan bertanyakan hal rumah tangga di media sosial, membelakangkan mereka yang arif seperti ibu bapa dan ilmuan rumah tangga yang seharusnya menjadi rujukan utama.
“Kami membesar dengan ayah sebagai penyumbang utama keluarga. Dia menjaga koloninya dan memberi nafkah dalam keluarga. Egonya luar biasa.
“Zaman dulu ayah tidak ada duit, (dengan) senyap-senyap buat hutang tanpa diketahui sesiapa. Mereka malu nak mengaku tak ada duit. Jika pinjam duit bini pun malu.
“Hari ini, kita bangga dapat makan tumpang harta yang bini ada. Tanpa rasa sedikit curiga apakah nanti anak-anak akan ketawa?” ulasnya.
Sebelum ini terdapat satu hantaran tular di aplikasi X mengenai pengakuan seorang lelaki yang berasa tidak puas hati kerana terpaksa membayar kos bersalin isterinya.
Dalam pengakuan sama, lelaki tersebut turut menyuarakan pendapatnya bahawa kos bersalin perlu ditanggung secara bersama dan bukan diletakkan atas bahu golongan suami semata-mata. – KOSMO! ONLINE