LIPIS – Kira-kira 2,000 pekerja mahir bidang kejuruteraan persenjataan akan mula bekerja pada awal tahun depan di Bandar Pertahanan (Defence City) Kechau dekat sini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kilang persenjataan tentera dibina di tapak seluas 120 hektar di Kechau melibatkan pembinaan kereta kebal, peluru dan beberapa kelengkapan pertahanan antara terbesar di Asia.
“Bandar Pertahanan ini bakal mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar kepada 2,000 orang pekerja bidang kejuruteraan persenjataan termasuk teknikal, pengurusan sekali gus turut merancakkan ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara.
“Pembukaan kilang pembuatan peralatan dan pemasangan jentera berat untuk kegunaan pertahanan dan ketenteraan antara usaha Kerajaan Persekutuan memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta mewujudkan pusat pertumbuhan (bandar) di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Program Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Parlimen Lipis dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, kilang tersebut akan dibina dalam tiga fasa dan setiap fasa berkeluasan 40 hektar. Fasa pertama akan mula beroperasi selepas dirasmikan oleh Yang di Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah pada 18 Januari 2024 ini. – KOSMO! ONLINE