IPOH – Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini hari ini mahu menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Kakak mangsa, Nur Zawani, 28, berkata, walau siapa pun pelakunya, individu itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.
“Kalau dia buat salah sekali pun, jumpa mak ayah saya, mahu letak dia di lokap sekali pun tak apa, tapi bukan hak dia buat macam itu (langgar). Saya harap ada keadilan terhadap adik walaupun yang buat itu (pelaku) seperti yang ditularkan (pegawai polis),” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu Perodua Ativa terbabit dengan mangsa kerana membuat bunyi bising ekzos motosikal sebelum pemandu kenderaan itu yang dipercayai seorang pegawai kanan polis mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Menurut Nur Zawani, ketika kejadian, dia berada berhampiran lokasi kemalangan dan terperanjat apabila diberitahu orang awam mangsa nahas merupakan adiknya sendiri lalu dia segera mendapatkan Muhammad Zaharif Affendi yang terbaring di tepi jalan serta cuba memberi bantuan pernafasan (CPR)
“Saya pangku kepala adik dan cuba selamatkannya. Saya beri bantuan CPR berkali-kali tapi tiada tindak balas. Ayah yang juga ada di situ bersama seorang ustaz bantu adik untuk mengucap,” katanya.
Nur Zawani yang juga seorang jururawat berkata, ibu dan bapanya amat sedih dengan kejadian tersebut tambahan lagi mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan merupakan kesayangan mereka.
“Mak dan ayah saya tak kuat sebab itu mereka tidak datang ke sini (hospital). Adik anak bongsu, dia seorang sahaja yang bersekolah dan anak kesayangan,” katanya.
Jenazah Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga selepas selesai proses bedah siasat sekitar pukul 6.30 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar di sini. – KOSMO! ONLINE