BANGI – Kari kepala ikan jenahak menjadi hidangan istimewa dihidangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau makan tengah hari di Restoran Mak Kimbong, Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi di sini.
Menu lain turut dihidangkan ialah udang masak lemak cili api, ikan bakar sambal lado, sotong bakar sambal, jantung pisang masak lemak cili api selain ulam-ulaman dan sambal belacan.
Anwar yang tiba sekitar pukul 12.52 tengah hari disambut pengusaha Restoran Mak Kimbong yang juga pasangan suami isteri, Khairul Amilin Abdul rahman, 40, dan Mastura Rahim, 40.
Dalam pada itu, Mastura berkata, ini kali kedua restorannya dikunjungi tetamu VIP apabila kali pertama ialah sewaktu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub memegang jawatan Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan pada pagi semalam bahawa Perdana Menteri berhasrat makan tengah hari di restorannya.
“Kita diberitahu tak payah buat apa. PMX makan apa yang ada saja, apa yang dijual iaitu menu harian. Jadi kita sediakan tempat.
“Restoran Mak Kimbong ini memang ada hidangan kari ikan, tetapi tiada kari kepala ikan. Jadi kita sediakan khas untuk Perdana Menteri dan kita tahu, beliau juga berasal dari utara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mastura berkata, restoran tersebut sudah 17 tahun beroperasi dan hidangan ikan bakar serta sotong bakar antara yang popular menjadi pilihan pelanggan.
Sementara itu, Perdana Menteri menikmati hidangan yang disediakan dan kemudian dilihat meninggalkan lokasi sekitar pukul 1.17 tengah hari untuk menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar terletak kira-kira 500 meter dari situ. – KOSMO! ONLINE