KUALA LUMPUR – Enggan perceraian memberi kesan kepada anak, pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie memilih untuk tidak bermasam muka selain matang dalam mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri, Nina Ismail Sabri.
Kata Jovian atau nama sebenarnya Mohd. Ridhwan itu, hubungannya dan Nina masih seperti dahulu, malah masih menghadiri majlis makan malam dan keluar bersama keluarga meskipun sudah bercerai.
“Walaupun kami sudah berpisah, namun tetap bahagia. Sebenarnya tadi pun kami baru sahaja balik dari makan malam bersama keluarga sempena meraikan hari kelahiran adiknya, Dafi.
“Kami masih bersama sebagai sebuah keluarga dan kami lakukan itu kerana anak, Jeanelle. Lagipula keluarga saya dan Nina memang sangat rapat. Rasanya tidak adil kalau kami bergaduh manakala keluarga pun terkena tempiasnya.
“Kita jaga hubungan itu agar keluarga, rakan, peminat selesa bersama, Nina juga sangat menyokong saya khususnya dalam perniagaan sampai ke hari ini. Kalau ada sesi siaran langsung untuk mempromosikan barang jualan, dia pun turut serta,” katanya kepada Kosmo! Online.
Profesional dan tidak menyindir antara satu sama lain, jejaka berumur 37 tahun itu menegaskan tiada sebab untuk dia membenci bekas isterinya itu sebaliknya merasakan hubungannya dengan Nina sentiasa dilindungi Allah meskipun kini hanya sebagai sahabat.
“Kami telah berkahwin selama 10 tahun. Bila berpisah, tak ada sebab untuk kami saling membenci dan bermusuh. Cuma mungkin jodoh kami berpanjangan sebagai kawan dan Allah jaga hubungan itu.
“Mungkin kami sudah matang dan sangat menyayangi keluarga masing-masing. Walau sudah berpisah, namun kami masih tetap berjumpa,” jelasnya pada majlis penyampaian anugerah Shopee Super Awards 2023, semalam.
Jovian dan Nina berkahwin pada 11 Disember 2013. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.
Semasa majlis berlangsung malam tadi, Jovian turut menerima anugerah industri e-dagang terunggul Shopee Super Awards 2023, melihat kepada prestasi cemerlang perniagaannya di platform itu sepanjang tahun ini.
Selain Jovian, antara selebriti yang turut menerima penghargaan tersebut ialah Neelofa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Zoey Rahman dan Ainul Aishah. – KOSMO! ONLINE.