fbpx

Heliza Helmi solat istikharah dulu baru setuju berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMPIAN Heliza untuk terlibat dalam filem menampilkan kehebatan srikandi di medan perang termakbul menerusi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

PETALING JAYA – Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Datin Seri Nur Heliza Helmi mengakui melakukan solat sunat istikharah terlebih dahulu, selain akan berbincang dengan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman sebelum membuat keputusan menerima mana-mana tawaran berlakon.

Heliza, 37, berkata dia seorang yang teliti dalam memilih sebarang tawaran berlakon kerana mahu memastikan setiap karya yang diterima dapat memberi manfaat kepada penonton dan bukan sekadar hiburan kosong.

“Jika ditawarkan dengan mana-mana naskhah, saya akan buat solat sunat istikharah dahulu untuk mendapatkan petunjuk, selain turut berbincang dengan suami dan keluarga.

“Saya juga akan mendapatkan nasihat daripada guru (agama). Sekiranya karya tersebut memberikan manfaat barulah saya akan teruskan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, bekas peserta program Akandemi Fantasia musim kelima (AF5) itu turut meluahkan rasa gembira dan teruja apabila dapat berlakon dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang menuntutnya mempamerkan aksi sunnah memanah dan berkuda.

Kata Heliza, tawaran yang diberikan kepadanya untuk terbabit dalam filem tersebut, bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang selepas dia mula berjinak dalam sukan sunnah tersebut.

“Tawaran berlakon dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah diibaratkan seperti pucuk dicita, ulam mendatang. Saya baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan memanah dan berkuda dan berangan-angan jika dapat kongsikan sukan ini kepada orang ramai.

“Tidak sangka pula doa saya dimakbulkan apabila disunting untuk berlakon dalam filem ini, bersama-sama dengan adik saya sendiri iaitu Hazwani Helmi.

Heliza yang ditemui ketika majlis pelancaran trailer dan lagu tema filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Malakat Mall, di Putrajaya memberitahu, dia memegang watak sebagai Siti, iaitu seorang srikandi hebat dalam seni mempertahankan diri, selain turut tangkas dalam memanah dan berkuda.

Heliza mengakui, untuk menjayakan watak sebagai Siti bukan suatu hal mudah, kerana hampir kebanyakkan babak memanah dan berkuda dilakukannya sendiri tanpa bantuan pelakon aksi ngeri (stuntman).

“Hampir kebanyakkan babak memanah dan berkuda, termasuk aksi pertarungan saya lakonkan sendiri. Hanya beberapa babak sahaja yang bukan saya lakonkan kerana sedang mengerjakan ibadah umrah.

“Memang saya ada mengalami kecederaan, tapi tidaklah serius,” katanya.

Pada masa sama, pelantun Cinta Di Lautan Lalang itu turut bersyukur apabila sentiasa diberikan sokongan dan galakkan oleh suaminya, Mahadi, untuk dia aktif dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, suami tiada halangan untuk saya aktif dalam bidang ini (lakonan). Malah, dia sentiasa memberikan sokogan.

“Ikutkan saya yang sangat cerewet. Suami pun sudah faham dengan perangai saya. Sesekali kalau ada masa, memang dia akan turun ke set penggambaran untuk melihat saya bekerja. Tapi tidaklah selalu,” ujarnya.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan filem kedua yang diterbitkan oleh rumah produksi, Kembara Studio selepas berjaya mencipta fenomena menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, penghasilan filem yang menelan kos lebih daripada RM10 juta itu masih  menjadi teka-teki selepas penerbitnya, Abdul Rahman Md. Dali enggan mendedahkan nama pengarah bagi filem tersebut.

Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang dijangka bakal ditayangkan pada tahun hadapan, membabitkan lakonan Fattah Amin sebagai pelakon utama, disamping Amir Ahnaf, Nur Fazura, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI