fbpx

HCTM hospital pengajar universiti pertama terima akreditasi MSQH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanafiah (tengah) bergambar bersama warga Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi dan Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh MSQH di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) telah berjaya memperoleh Pensijilan Penuh Akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) untuk tempoh empat tahun, berkuatkuasa 9 Mei 2023 sehingga 8 Mei 2027.

Penilaian yang dilakukan dari 7 sehingga 9 Februari lalu itu melibatkan seramai lapan orang penilai dari MSQH yang menilai hampir 45 standard berdasarkan semakan dokumen, sistem yang digunakan, temu bual dan lawatan ke jabatan-jabatan terlibat.

Ini sekaligus menjadikan HCTM sebagai Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama yang berjaya memperoleh akreditasi MSQH di Malaysia.

Menurut Pro Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid, HCTM mempunyai tanggungjawab besar sebagai hospital pengajar, terutamanya dalam melahirkan bakal-bakal doktor dan pakar klinikal masa hadapan.

Tambahnya, UKM juga merupakan universiti tempatan yang paling banyak melahirkan pakar klinikal untuk negara sejak permulaan program latihan kepakaran klinikal dalam negeri yang ditubuhkan pada tahun 1981.

“Pada awalnya, hospital ini telah berjinak-jinak dengan pengiktirafan ISO tetapi bukan menyeluruh. Setelah beberapa tahun berjaya mendapatkan persijilan, kita perlulah berkembang lagi supaya setara dengan hospital lain di Malaysia.

“Sebab itulah kami berusaha mendapatkan akreditasi MSQH yang kerangkanya merujuk kepada penarafan antarabangsa International Society for Quality in Health Care (ISQua),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi dan Apresiasi Sempena Akreditasi Penuh Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) Hospital Canselor Tuanku Mukhriz di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin berkata, Program Akreditasi Hospital oleh MSQH menyediakan kaedah efektif dan efisien dalam menilai tahap kualiti serta keselamatan organisasi kesihatan menurut standard kebangsaan yang ditetapkan.

“Malah, program ini dibangunkan oleh golongan profesional dunia perubatan dan aplikasinya diterima serta diiktiraf di seluruh Malaysia.

“Sepanjang tahun 2018 hingga 2023, HCTM memegang lima teras utama iaitu percaya, fokus, komitmen, sokongan dan strategi sebagai persediaan untuk mendapatkan akreditasi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI