BANGI – Tiada keperluan mahupun perbincangan bagi meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu Islam sahaja yang boleh menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sehubungan itu, calon bagi Perdana Menteri selepas ini tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang adalah kekal daripada kaum Melayu.
“Takat ini tak ada keperluan permohonan serius (meminda perlembagaan) dan tak ada perbincangan. Sejak merdeka sampai sekarang calon Perdana Menteri ialah Melayu.
“Selepas ni pun calon daripada kerajaan juga Melayu dan calon daripada pembangkang pun Melayu. Jadi maju terus. Hak rakyat semua warga negara dipelihara, jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Anwar meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.
Ia susulan kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.
Terdahulu, Anwar singgah makan tengah hari di Restoran Mak Kimbong, Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi di sini sebelum menunaikan solat Jumaat bersama ahli kariah Surau Al-Kauthar. – KOSMO! ONLINE