fbpx

Bantuan Am Negeri JKM ringankan hidup wanita OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINI (kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Aliya Salwani Mohd. Puzi di Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh semalam.

IPOH – Meskipun tidak mampu lagi bekerja akibat kekurangan fizikalnya yang berpunca daripada pelbagai penyakit, seorang wanita enggan merintih dengan nasib menimpa dirinya itu.

Noraini Said, 51, berkata, dia tidak berkemampuan mencari rezeki akibat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi serta keadaan kakinya yang bengkok.

“Dengan keadaan fizikal dihadapi ketika ini, saya diiktiraf sebagai orang kelainan upaya (OKU) fizikal serta pertuturan. Jadi, untuk diterima bekerja oleh majikan memang sukar meskipun dahulu pernah bertugas sebagai seorang pengawal keselamatan.

“Tambahan pula, saya telah tiga kali menjalani pembedahan di bahagian kepala sejak beberapa tahun lalu akibat pembuluh darah yang pecah. Doktor menasihati agar tidak bekerja di bawah cuaca panas dan me­ngelakkan daripada berasa stres,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, dia tinggal seorang diri di Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini biar pun mempunyai adik-beradik yang lain berdekatan dengan tempat tinggalnya.

Katanya, dia enggan membebankan sesiapa kerana masih mampu menjaga dirinya sendiri, walaupun ada keadaan-keadaan tertentu yang membuatkannya memerlukan bantuan orang lain seperti bergerak menuruni anak tangga untuk meninggalkan kediamannya itu.

Noraini berkata, dia menerima Bantuan Am Negeri dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, yang mana ia juga membantu menguruskan kehidupannya terutamanya daripada segi bayaran sewa rumah serta bil utiliti.

“Saya difahamkan kadar Bantuan Am Negeri JKM ini meningkat dari RM300 kepada RM400 bermula bulan hadapan. Ke­naikan ini benar-benar membantu dan saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkaitan perkara ini.

“Saya percaya ramai penerima bantuan ini seperti saya yang akan menerima manfaat daripada kenaikan yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2024 baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, jika mahu ke lokasi lain seperti hospital pula baharulah dia meminta pertolongan orang lain.

“Soal makan dan minum pula, saya menggunakan bantuan bulanan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Dengan wang tersebut, saya gunakan untuk membeli barang basah untuk dimasak,” katanya.

Belanjawan berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah negeri itu sebahagian besarnya memberi tumpuan khusus bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

Meneruskan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera sebagai kesi­nambungan pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Belanjawan Perak 2024 memperuntukkan sebanyak RM491 juta untuk belanja pembangunan, manakala RM856 juta bagi belanja mengurus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI