KOTA BHARU – Gelombang kedua banjir di Kelantan semakin buruk apabila seramai 1,219 orang mangsa di Tanah Merah dan Kuala Krai ditempatkan di 18 buah pusat perlindungan sementara (PPS) hari ini.
Meskipun cuaca di kebanyakan kawasan cerah dan baik hari ini, jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak 343 orang berbanding malam tadi iaitu seramai 876.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 341 buah keluarga.
Menurutnya, lapan PPS dibuka di Tanah Merah dan 10 lagi di Kuala Krai.
“Di Kuala Krai, PPS Pusat Komuniti Chucuh Puteri A menempatkan seramai 74 mangsa, Madrasah Chucuh Puteri A (39), Masjid Chucuh Puteri A (42), Pejabat Veterinar (58) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang (91).
“Selain itu, PPS Madrasah Kampung Sepuluh menjadi tempat berlindung kepada 69 orang mangsa, SK Banggol Guchil (101), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Jedok (17) dan SK Sungan Embak (202),” ujarnya.
Menurutnya, di Tanah Merah pula, jumlah PPS bertambah kepada lapan berbanding hanya satu pusat dibuka petang semalam.
Katanya, PPS SK Kelewek kekal menempatkan seramai 30 orang mangsa, SK Gual Jedok (17), Balai Raya Padang Kijang (39), Madrasah Wak Seman Kampung Batu Air (97) dan SK Alor Pasir (24).
“PPS SK Bukit Bunga pula menjadi tempat berlindung kepada 23 mangsa, SK Bedal (29), Sekolah Menengah Ugama Arab Kajang (117) dan SK Kulim (55),” katanya.
Sementara itu, Sekreteriat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan melaporkan, semua sungai-sungai utama di negeri ini berada pada paras normal kecuali Sungai Kelantan di Sungai Lanas berada pada paras amaran.
Katanya, selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Besar dan Sungai Semerak di Jambatan Melor menunjukkan bacaan berjaga-jaga. – KOSMO! ONLINE