fbpx

3 beranak maut: Sempat hubungi ibu saudara sebelum nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Nor Faizah (kiri) bersama Muhammad Hariz Adrian (dua dari kiri) dan Muhammad Hafiy Azman (kanan,dipangku) yang maut dalam nahas di Kilometer 17, Jalan Lipis- Benta dekat Lipis, Pahang awal pagi tadi.

BACHOK – Seorang wanita yang maut bersama dua anak lelakinya sempat menghubungi adiknya sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung dengan lori ‘loader’ di Kilometer 17, Jalan Lipis- Benta, Lipis awal pagi tadi.

Kejadian pada pukul 2.25 pagi itu meragut nyawa pemandu MPV Perodua Alza, Nor Faizah Ridzuan, 34, bersama anak-anaknya, Muhammad Hariz Adrian Mohd. Azman,10, dan anak angkat, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3.

Adik arwah, Nor Fitrah, 30, berkata, semasa panggilan itu dibuat, dia banyak bercakap dengan Muhammad Hariz Adrian yang menggunakan telefon ibunya pada pukul 12 tengah malam.

Menurutnya, anak saudaranya itu memaklumkan bahawa dia akan pulang ke kampung di Tawang di sini bersama ibu dan adiknya.

“Kira-kira 20 minit kemudian, saya hantar pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp untuk memaklumkan kepada kakak supaya berhati-hati memandu kerana banyak lori atas jalan pada waktu malam.

“Saya juga sempat berpesan supaya dia berhenti jika mengantuk. Arwah memandu seorang diri dari rumahnya di Petaling Jaya, Selangor kerana suaminya bertugas malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Fitrah yang tinggal di Dungun, Terengganu memberitahu, selepas menghantar pesanan suara itu, dia tidak dapat melelapkan mata sehingga menerima perkhabaran nahas yang menimpa keluarga kakaknya pada pukul 4 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka keadaannya yang sukar tidur malam tadi merupakan petanda akan menerima perkhabaran kakak dan dua anak maut dalam nahas tersebut.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah kakak pada 4 Disember lalu ketika berada di kampung. Jenazah mereka dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pintu Gerbang, Tawang petang ini,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, tiga beranak maut selepas MPV yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori ‘loader’ di Kilometer 17, Jalan Lipis-Benta dekat Lipis, Pahang hari ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI