fbpx

96 stor di tebing Sungai Golok jadi transit simpan barang subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kanan) menunjukkan diesel yang dirampas dalam Ops Bersepadu KPDN Kelantan bersama 14 agensi di Balai Polis Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. -Foto ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Sebanyak 96 stor dibina secara haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Jeli dekat sini yang dijadikan transit menyimpan pelbagai barang subsidi sebelum diseludup ke negara jiran.

Pembinaan stor-stor tersebut terbongkar semasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjalankan Ops Bersepadu bersama 14 agensi di sempadan negara bermula Selasa lalu hingga semalam.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, kesemua stor itu dibina di tebing Sungai Golok di atas tanah persendirian penduduk.

Menurutnya, kebanyakan stor tersebut aktif untuk digunakan semasa menjalankan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan bersubsidi.

“Siasatan mendapati, stor-stor itu diperbuat daripada konkrit dengan struktur tinggi. Ada juga stor yang berdindingkan zink.

“Stor tersebut dijadikan transit sebelum barangan subsidi negara seperti minyak masak, diesel dan petrol diseludup ke negara jiran,”katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Azman memberitahu, sepanjang Ops Bersepadu dijalankan, lima stor haram di Tumpat, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas telah diserbu.

Katanya, hasil operasi selama 48 jam itu, seramai sembilan suspek ditahan dan 84 kes dikenal pasti dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM48,854 melibatkan pelbagai kesalahan dan akta.

“Sebanyak lapan kes yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 melibatkan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan termasuk petrol, diesel, minyak masak bersubsidi selain ubah suai tangki kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 68 saman dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiga kes di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI