PETALING JAYA – Gelagat seorang ‘mak cik kantin’ bersemangat mengajar murid-murid menyanyi sempena persembahan hari kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Kuala Pomson, Hulu Langat menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video pendek berdurasi 37 saat di Facebook, kelihatan murid-murid sekolah tersebut dilihat begitu asyik mengikuti arahan dan teknik nyanyian mak cik kantin menyanyikan lagu Retak Hatiku oleh Iera Milpan.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat sebanyak 337,000 tontonan, 16,000 tanda suka dan 831 perkongsian.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang terhibur melihat semangat mak cik kantin membawakan keceriaan kepada murid-murid sekolah tersebut.
“Aku suka ‘vibe’ mak cik ini sebab dia macam bawa ‘vibe’ meriah dekat kantin. Nak beli makanan pun seronok,” tulis Fatin Noor Afiqah Hafizi.
“Pasti mak cik sangat mesra dengan anak-anak murid. Semoga mak cik sentiasa dimurahkan rezeki,” kata Afdzal Bakar
“Mungkin cita-cita nak jadi cikgu tapi tak ada rezeki untuk dia,” tambah Iqbal Irfan Latifah. – KOSMO! ONLINE.