MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menyalahkan aksi pemain-pemain bintangnya ketika menyaksikan pasukan itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas 0-1 berdepan Bayern Munich awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, United menanggung kekalahan hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Kingsley Coman pada minit ke-70 sekali gus menyebabkan United terperosok ke tangga tercorot Kumpulan A.
“Kami melakukan banyak kesilapan. Ramai pemain kami telah melakukan kesilapan individu. Namun, kami berjaya mempamerkan aksi yang baik, kami tidak layak untuk kalah, tetapi itu yang berlaku.
“Kami bertahan dengan cukup baik dan tersusun selain memberikan tekanan yang kuat kepada pasukan lawan. Bayern adalah pasukan yang baik dan kuat, kami perlu lebih konsisten. Tanggungjawab kekalahan ini perlu ditanggung oleh seluruh pasukan,” katanya.
Tambahnya, kegagalan kali ini seharusnya menjadi pengajaran paling berguna buat United untuk mereka bangkit lebih kuat dan mendapat slot automatik musim depan bagi melayakkan diri sekali lagi.
“Masih ada banyak lagi aksi yang perlu kami lalui. Fokus kami ketika ini adalah aksi Liga Perdana Inggeris. UCL adalah kejohanan yang kami sentiasa ingin sertai, jadi kami perlu memberikan sepenuh kesungguhan untuk mendapatkan kedudukan kelompok empat terbaik EPL dan kembali lagi ke sini,” katanya.
Kesukaran dihadapi United bukanlah sepenuhnya disebabkan kekalahan kepada Bayern, namun ia berpunca daripada kegagalan dalam lima perlawanan sebelum ini apabila hanya berjaya meraih empat mata sahaja.
Mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada Galatasaray di Old Trafford sebelum mengalami kekalahan kepada Copenhagen di Stadium Parken. – AGENSI