fbpx

Selesai segera isu kos sara hidup, inflasi – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rombakan barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah sebagai isyarat jelas negara inginkan perubahan yang drastik.

Ini kerana menurut, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir, ketika ini rakyat dicengkam dengan pelbagai masalah termasuk kos sara hidup, inflasi, peluang pekerjaan dan memulihkan semula ekonomi termasuk menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Malah, katanya, rombakan Kabinet itu juga memperlihatkan Perdana Menteri mendengar keluhan dan denyut nadi rakyat yang mahukan perubahan supaya barisan Jemaah Menteri yang baharu lebih baik daripada sebelumnya.

“Jika kita lihat rombakan ini bukan sahaja memindah dan menukarkan mereka (Menteri) ke kementerian baharu, tetapi juga memasukkan teknokrat dari luar khususnya untuk Kementerian Kewangan.

“Jadi saya yakin barisan Kabinet baharu ini akan dapat me­lakukan perubahan yang drastik kerana mereka tiada masa sebenarnya.

“Mereka perlu segera tangani isu kos sara hidup, inflasi yang begitu mencengkam, usaha memulihkan ekonomi serta menunaikan aku janji yang terkandung dalam manifesto sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jeniri menambah, ‘kelompo­ngan’ yang ada pada Kabinet terdahulu juga perlu dibaiki segera supaya rakyat betul-betul tahu dasar dan inisiatif yang telah dilakukan kerajaan selama ini.

“Kerajaan perlu menyebar ­luaskan lagi inisiatif yang mereka telah lakukan kerana ramai yang tidak tahu. Menteri baharu yang dilantik ini perlu menyebar luaskan lagi perkara ini supaya rakyat faham dan tidak ‘menuduh’ kerajaan tidak berbuat apa-apa selama ini.

“Selain itu, Kabinet ini juga perlu efisyen dan gigih be­kerja supaya semua komitmen pelaburan yang berjaya ‘dibawa’ Perdana Menteri semasa lawatan di beberapa negara terma­suk Amerika Syarikat dan China sebelum ini dapat direalisasikan segera,” katanya.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, Kabinet baharu ini juga perlu kekal sehingga hujung penggal kerana jika berlaku perubahan lagi, ia akan memberi kesan yang negatif kepada Kerajaan Perpa­duan.

“Ini termasuk memberi gambaran bahawa Menteri yang di­pilih tidak mampu memberi prestasi baik serta ia akan ­menjejaskan imej Perdana Menteri di mata rakyat kerana gagal memilih barisan yang berwibawa untuk menerajui sesuatu kementerian.

“Jadi, mereka (Kabinet baharu) tiada alternatif, mereka perlu bergerak sebagai satu pasukan yang padu di bawah teraju Perdana Menteri untuk mencapai agenda dan aspirasi rakyat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI