fbpx

Rasai pengalaman musim sejuk i-City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pengunjung boleh bermain ski secara simulasi.

KETIADAAN landskap yang dilitupi salji tidak menghalang rakyat Malaysia daripada merasai keajaiban musim sejuk.

Terbaharu, tarikan musim sejuk dalam bangunan dapat dinikmati oleh pengunjung Immersive Winterland di i-City Shah Alam, Selangor.

Pemandangan serba putih, biru dan ungu menjadikan ruang berkeluasan 3,048 meter persegi itu bagaikan berada di zaman ais.

Sebaik sahaja melangkah masuk, pengunjung akan melihat kerusi putih seakan-akan milik ‘Presiden Snow’ dalam trilogi Hunger Games.

Pengunjung boleh mengambil kesempatan untuk bergambar seperti watak terbabit di atas kerusi ikonik tersebut.

Bagi penggemar aktiviti mencabar, mereka boleh mencuba cabaran landasan ais menerusi Immersive Ski simulator pertama di Malaysia.

Kecanggihan simulasi ski tersebut membolehkan pengunjung merasai pengalaman bermain ski tanpa perlu memakai peralatan.

Sekiranya teringin bermain bebola salji, pengunjung boleh mencuba aktiviti tersebut menerusi Immersive Snowball simulator.

Oleh kerana kesemua permainan tersebut dalam bentuk simulasi berteknologi tinggi, pengunjung tidak perlu memakai baju sejuk ketika bermainnya.

Untuk merasai pengalaman lebih nyata, pengunjung disarankan mencuba pengembaraan pesawat menerusi 360° Immersive Explorer.

Pengalaman menerokai dunia ais dalam bentuk tujuh dimensi (7D) itu dilengkapi dengan kecanggihan virtual realiti tanpa memerlukan pengunjung memakai cermin mata.

Menurut Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong, Immersive Winterland meletakkan penanda aras baharu dalam evolusi didik hibur yang interaktif.

NANCY (tengah) bersama Kim Hong (dua dari kanan) sewaktu merasmikan Immersive Winterland di i-City Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

“Teknologi hiburan berbentuk 7D kami menggunakan kesan visual, pergerakan, audio dan rasa yang lebih nyata berbanding 5D.

“Dengan penambahan efek ini, stimulasi deria pengunjung dapat dibangkitkan, sekali gus membuatkan pengunjung terasa seolah-olah berada dalam situasi nyata,” katanya.

Sebagai rekod, majlis perasmian pusat hiburan musim sejuk itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Di ruang The Immersive Exploration Cave, pengunjung boleh bergambar bersama replika empat makhluk prasejarah iaitu t-rex, mamot, gorila dan penyu separa cengkerang.

Di dalam gua tersebut, terdapat papan cerita yang mengandungi informasi berkenaan dengan haiwan-haiwan itu. Lagi menarik, dinding kawasan tersebut boleh disentuh, sekali gus memberikan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung.

Bonus buat pengunjung, musim sejuk berakhir dengan musim bunga di ruang Blossom Odyssey.

Ruang gelap yang disinari cahaya bunga-bunga pada skrin memberikan kesan lut sinar pada pengunjung sebaik sahaja mereka lalu di kawasan itu.

Tambah Kim Hong, integrasi antara unsur seni dan hiburan secara harmoni membolehkan pusat berunsurkan didik hibur tersebut dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan usia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI