KUALA TERENGGANU – Industri pelancongan di Terengganu agak merundum berikutan musim tengkujuh ketika ini dengan hanya 20 peratus tempahan melibatkan bilik penginapan yang ditawarkan hotel dan resort di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, peratusan itu agak rendah memandangkan purata tempahan bilik penginapan di negeri ini pada fasa
Mosun Timur Laut (MTL) pada tahun-tahun sebelum adalah sekitar 40 peratus.
“Sebanyak 10 peratus tempahan bilik penginapan juga telah dibatalkan sebaik gelombang pertama banjir melanda sebahagian Terengganu pada 20 November lalu.
“Walaupun banjir gelombang pertama tersebut telah berakhir pada 30 November lalu, kebimbangan dalam kalangan pelancong itu untuk bercuti ke negeri ini tetap ada,” katanya.
MAH Chapter Terengganu dianggotai 35 operator hotel dan resort yang beroperasi di seluruh negeri ini termasuk di rangkaian pulau peranginan.
Suaibah bagaimanapun berkata, pihaknya berharap kadar tempahan bilik penginapan di negeri ini akan kembali melonjak pada musim cuti persekolahan bermula minggu depan.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu juga telah mengambil inisiatif menganjurkan pakej percutian musim tengkujuh.
“Banyak lokasi pelancongan masih boleh dikunjungi pada fasa MTL seperti Pasar Besar Kedai Payang, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal dan kilang pembuatan batik,” katanya.