LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dijangka melakukan rombakan besar untuk skuad yang bakal turun menentang pendahulu Liga Belgium, Union SG pada aksi Liga Europa awal pagi esok.
Kejayaan mengesahkan kemaraan selaku juara Kumpulan E menyaksikan Klopp membuat keputusan merehatkan beberapa pemain utama dan memberikan peluang para pemain muda beraksi dalam pertandingan kompetitif.
Liverpool ketika ini berjaya meraih 12 mata daripada lima perlawanan berbanding pencabar di kedudukan kedua, Toulouse yang mengumpul lapan mata menyaksikan kedudukan mereka selaku juara tidak terkesan walau apa jua keputusan diperoleh.
Merehatkan pemain-pemain tonggak cukup penting buat Liverpool apabila mereka dijadual turun menentang musuh tradisi, Manchester United tiga hari kemudian menyebabkan Klopp percaya menyenaraikan pemain muda adalah langkah paling tepat.
Justeru, enam pemain muda dijangka tampil untuk membuat penampilan pada perlawanan itu termasuk tiga daripada mereka, Jarell Quansah, Conor Bradley dan Luke Chamber akan diberikan tanggungjawab menjaga benteng The Reds.
Selain itu, tiga lagi adalah James McConell yang bakal menggantikan Alexis Mac Allister di bahagian tengah serta Ben Doak dan Kaide Gordon juga bakal mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan.
Bagaimanapun, beberapa pemain senior seperti Joe Gomez, Curtis Jones, Harvey Elliott dan Cody Gakpo hampir pasti akan diturunkan untuk membantu pasukan mengekalkan rentak, manakala posisi penjaga gol bakal diisi oleh Caoimhin Kelleher. – AGENSI