fbpx

Konflik Palestin-Israel: Biden, PBB tingkatkan tekanan terhadap Rejim Zionis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Palestin memeriksa kemusnahan selepas tentera Israel mengebom Rafah, selatan Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP

GAZA – Tekanan semakin me­ningkat ke atas Rejim Zionis kelmarin apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi amaran bahawa Israel ­berisiko kehilangan sokongan dunia dalam perang terhadap Hamas kerana melakukan pengeboman ‘sembarangan’ di Semenanjuang Gaza.

Perkembangan itu berlaku selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan.

Tentera Israel memerangi kumpulan Hamas dan mengebom lebih banyak sasaran di Gaza yang musnah, lebih dua bulan selepas perang tercetus pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, AS selaku sekutu paling rapat Israel memberi amaran Tel Aviv berisiko hilang sokongan ekoran korban kemanusiaan dahsyat di Gaza dengan PBB menyifatkan situasi di sana ibarat ‘neraka di Bumi’.

Biden berkata, ‘sebahagian besar dunia menyokong Israel’ selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu menyebabkan kira-kira 1,200 orang terbunuh dengan kebanyakan mereka orang awam, manakala 240 warga Israel dijadikan tebusan.

Bagaimanapun, dalam kenya­taan beliau yang paling ‘berterus-terang’ sejak perang bermula, Biden berkata bahawa Israel mulai hilang sokongan tersebut.

Kempen ketenteraan berterusan Israel di Gaza untuk memusnahkan Hamas telah menyebabkan lebih 18,412 rakyat Palestin terkorban, kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengaku wujud ‘percanggahan’ antara dia dan Biden mengenai bagaimana Gaza harus ditadbir selepas perang tamat, mencerminkan keretakan yang jarang berlaku antara dua sekutu kuat tersebut.

‘Neraka di Bumi’

Komen Biden disiarkan sebelum Perhimpunan Agung PBB menyokong penuh resolusi kelmarin yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di dilaksanakan Gaza.

Badan dunia terdiri daripada 193 negara anggota itu mengundi dengan 153 negara menyokong resolusi tersebut. Ia melebihi 140 negara yang menyokong resolusi mengutuk Russia ­kerana pencerobohannya ke atas Ukraine.

Ketua agensi PBB untuk pela­rian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyamakan Gaza dengan ‘neraka di Bumi’ dan menyifatkan rakaman video sekolah UNRWA diletupkan tentera Israel sebagai ‘keterlaluan’.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamas berkata, tentera Israel menyerbu sebuah hospital di Bandar Gaza kelmarin.

“Pasukan penjajah Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan selepas mengepung dan mengebomnya selama beberapa hari,” kata jurucakap kementerian kesihatan Hams, Ashraf al-Qudra.

Beliau menuduh tentera ­Zionis menangkap semua lelaki di halaman hospital berkenaan termasuk kakitangan perubatan.

Agensi kemanusiaan PBB, OCHA sebelum ini berkata, hospital itu masih dikepung tentera dan kereta kebal Israel, manakala pertempuran dengan pejuang Palestin dilaporkan tercetus di kawasan sekitarnya selama tiga hari berturut-turut.

Menurut OCHA, dua orang ibu terbunuh dalam serangan ke atas wad bersalin dan kira-kira 3,000 orang yang hilang tempat tinggal masih terperangkap di hospital tersebut.

Kempen serangan udara dan darat Israel telah menyebakan sebahagian besar Gaza menjadi rata.​

 

‘Melangkaui kerosakan’

Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk pula memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di Gaza adalah ‘melangkaui kerosakan’.

Badan dunia itu menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang, separuh daripada mereka ialah kanak-kanak.

Serangan udara Israel kelmarin membunuh sekurang-kurangnya 24 orang di Rafah ketika bandar di selatan Gaza itu menjadi lokasi di mana puluhan ribu penduduk Palestin mencari perlindungan.

Bom Israel juga menyebabkan kawah besar dan dalam terbentuk, manakala bangunan di sekitarnya musnah.

“Masih ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan,” kata seorang penduduk berusia 33 tahun, Abu Jazar.

 

Mayat Tebusan ditemui

Tentera Israel menyatakan bahawa pihaknya menyerang tapak pelancaran roket di kem pelarian Jabalia yang digunakan untuk membedil selatan Israel dan menemui ratusan peluru dan pelancar grenad di kawasan Hamas.

Tentera Rejim Zionis juga melaporkan kematian 105 askarnya dalam serangan tersebut di samping sebilangan yang lain cedera. Askar Israel juga menemui mayat dua tebusan Hamas iaitu Ziv Dado dan Eden Zecharya.

Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari berkata, 135 tebusan lagi masih berada di Gaza. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI