MANCHESTER United mengesahkan jangkaan banyak pihak apabila akhirnya tersingkir pada saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini ekoran kekalahan 0-1 menentang Bayern Munich pada aksi terakhir Kumpulan A di Old Trafford awal pagi semalam.
Aksi awal pagi semalam menyaksikan United tiada pilihan kecuali mencatat kemenangan dan mengharapkan satu lagi aksi melibatkan FC Copenhagen dan Galatasaray berakhir seri, namun kedua-dua harapan tersebut berkecai apabila mereka kalah, manakala wakil Denmark itu mencatat kemenangan.
Lebih malang buat skuad kendalian Erik Ten Hag itu, mereka turut gagal melayakkan diri untuk aksi playoff Liga Europa selepas menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan tersebut dan ia merupakan kali pertama berlaku dalam rekod pasukan itu di saingan Eropah sejak 2005.
Selain itu, musim ini juga United mencipta sejarah ‘malapetaka’ apabila hanya mampu meraih empat mata dalam enam aksi sekali gus menjadi yang paling rendah sepanjang penglibatan mereka di UCL serta bolos 15 jaringan adalah jumlah paling banyak pernah dikumpul pasukan dari Liga Perdana Inggeris pada pertandingan tersebut.
Keputusan tersebut juga menyebabkan United berdepan kerugian wang bonus penyertaan sehingga £9 juta (RM53.19 juta) apabila gagal untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik UCL selain turut tidak layak ke saingan kelas kedua Eropah, Liga Europa.