PETALING JAYA – Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar akhirnya tampil membuat penjelasan mengenai asal usul dirinya selepas timbulnya ‘pergaduhan’ dalam kalangan netizen .
Nama Johan atau lebih dikenali Jojo memuncak selepas kejayaannya mengambil masa 36 saat ketika menewaskan jaguh Mexico, Edgar Tabares dalam kategori Catchweight MuayThai Primetime US, ONE Championship 2023 di Bangkok, Thailand sebelum ini.
Enggan pergaduhan tersebut berlanjutan, Jojo tampil menerusi satu video di media sosial untuk memberikan penjelasan mengenai dirinya yang sebenar.
“Kalau korang (anda) nak tahu aku sebenarnya asal dari mana, datuk aku berasal dari Lenggong, Perak dan bapa aku membesar di KL (Kuala Lumpur). Sebenarnya aku orang Malaysialah.
“Korang tak patut kisah pun aku dari Perak ke, Semenanjung ke, Sarawak ke, Sabah ke, dari Pulau Pinang ke, yang penting aku orang Malaysia.
“Aku ada pasport Malaysia, kalau aku pergi fight (bertarung) mana-mana, aku bawa bendera Malaysia.
“Memang target (sasaran) nak naikkan nama Malaysia, bukan nak naikkan nama negeri sebab aku dah fight di pentas dunia dan aku memang nak bawa nama Malaysia,” katanya.
Calon Sijil Pelajaran Malaysia berusia 17 tahun itu berjaya mendapatkan kontrak lumayan daripada ONE Championship dan masih belum kalah dalam lima siri pertarungan acara ONE Friday Fight setakat ini.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas, Kuching itu juga sempat berpesan supaya setiap ucapan tahniah diberikan untuknya kerana dia merupakan anak Malaysia tanpa memberikan fokus kepada mana-mana negeri.
“Untuk korang yang selalu tanya Johan dari mana lepas tu untuk orang yang selalu komen seperti tahniah anak Perak ke, tahniah anak Sarawak ke, tak perlu lagi.
“Cakap je tahniah anak Malaysia, sebab aku bangga jadi orang Malaysia.
“Kita semua patut bersatu padu tahu tak, sebab tak kisahlah dari negeri mana yang penting aku orang Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE