PENGGEMPUR sensasi Harimau Malaya mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menganggap dia adalah salah seorang pemain yang perlu diberikan perhatian pada aksi Piala Asia di Qatar bermula bulan depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia itu, mereka turut memuji perkembangan bola sepak negara yang dianggap menjadi kuasa baharu di peringkat Asia Tenggara ekoran kehadiran jurulatih, Kim Pan-gon yang berjaya mengubah nasib Harimau Malaya.
“Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan yang dilalui sebelum ketibaan Kim Pan-gon, namun mereka kini telah berjaya meraih 18 kemenangan dalam 27 perlawanan.
“Mereka juga telah memulakan aksi dengan cemerlang pada saingan kelayakan Piala Dunia 2026 dengan memenangi dua perlawanan awal Kumpulan D. Paling ketara ketika mereka ketinggalan 1-3 menentang Kyrgyzstan sebelum melakukan kebangkitan dalam 20 minit terakhir untuk meraih kemenangan 4-3,” menurut FIFA dalam satu artikel yang disiar dalam laman web badan itu.
Menurut artikel berkenaan, Arif Aiman menjadi antara tonggak penting skuad negara pada perlawanan menentang Kyrgyzstan tersebut apabila berjaya menghasilkan tiga umpanan gol.
“Dia menjadi terkenal selepas menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan menentang Borussia Dortmund tahun lalu dan menunjukkan peningkatan positif untuk menjadi salah satu prospek paling menarik di Malaysia,” menurutnya.
Selain Arif Aiman, artikel FIFA itu turut menyenaraikan empat lagi pemain yang perlu diberikan perhatian termasuklah pemian kelab Shabab Al-Ahli, Harib Abdalla (UAE), Harry Souttar dari Australia yang beraksi untuk Leicester City, Cho Gue-sung dari Korea Selatan yang menjadi milik kelab FC Midtjylland dan pemain Jepun, Junya Ito (Stade De Reims)
Musim ini ini menyaksikan Arif Aiman berjaya meledak 14 gol dan 16 umpanan jaringan dalam kesemua aksi domestik Liga Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim untuk membantu pasukan itu merangkul gelaran ‘quadruple’ buat musim kedua berturut-turut dengan merangkul empat piala.
Selain itu, pemain berusia 21 tahun yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan edisi 2021/22 turut berjaya menjaringkan tiga gol dan dua umpanan pada saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini.
Skuad Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan dan akan memulakan kempen untuk aksi pertama menentang Jordan pada 16 Januari depan. – KOSMO! ONLINE