fbpx

Campur tangan politik melampau pinggirkan penjawat awam – Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir pada Majlis Sumbangan Kasih bersama Alumni PTD malam tadi.

PETALING JAYA – Campur tangan politik yang melampau dan keterlaluan dalam urusan pentadbiran dan dasar awam telah meminggirkan penjawat awam, dan memusatkan perhatian kepada konsultan luar dengan kos jutaan ringgit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suatu ketika dahulu, barisan pimpinan penjawat awam diberi kepercayaan mengemudi tugasan utama termasuk projek-projek raksasa, ekonomi dan seumpamanya.

Menurutnya, sehubungan itu, tekad Kerajaan Madani adalah untuk mengangkat semula darjat dan martabat penjawat awam menerusi reformasi dan anjakan paradigma yang menuntut dukungan penuh daripada segenap lapisan perkhidmatan awam.

“Titik tolak reformasi ini adalah menerusi kajian menyeluruh sistem perkhidmatan awam, yang diabaikan akibat sepak terajang politik tanpa kesudahan sejak beberapa tahun kebelakangan.

“Kajian tersebut tidak sekadar tertumpu soal gaji, elaun dan saraan penjawat awam, namun turut menyinggung soal menambah baik keupayaan, mutu, profesionalisme serta integiriti penjawat awam. Pastinya hasrat ini hanya mampu terlaksana dengan kestabilan dan tekad politik yang jitu,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Malam Sumbangan Kasih bersama Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) bersama-sama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, semalam.

Dalam amanatnya, Anwar menzahirkan hasrat untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuatan perkhidmatan awam dengan menggilap dan memperkukuh aspek integriti, kemahiran dan keterampilan perkhidmatan ini.

“Saya turut nyatakan harapan semoga usaha ini dapat menyingkirkan kelemahan dalam perkhidmatan awam yakni tatakelola yang mulai luntur, rasuah menular menjadi sistemik,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya semalam, Anwar turut umumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Yayasan Alumni PTD sebagai menghargai pengorbanan dan khidmat bakti kumpulan PTD, utamanya yang sudah bersara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI