fbpx

Bank Rakyat anjur pertandingan Bicara Berirama, Choral Speaking

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid SMK Agama Kota Kinabalu yang memenangi tempat pertama Bicara Berirama kategori sekolah menengah dalam pertandingan Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking Nuri Madani 2023 Peringkat Kebangsaan anjuran Bank Rakyat.

PETALING JAYA – Seramai 440 murid daripada 20 buah sekolah menyertai Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking Nuri Madani 2023 Peringkat Kebangsaan anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, program yang dijalankan sempena sambutan Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023 ini merupakan penganjuran kali ketiga oleh Bank Rakyat.

“Pertandingan sebegini merupakan saluran terbaik bagi mendedahkan murid dengan kemahiran bahasa, sekali gus menuntut mereka meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi, sejajar dengan aspirasi Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

“Inisiatif ini secara tidak langsung memperkukuhkan komitmen Bank Rakyat sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong penuh aspirasi KPM dalam mencapai kemenjadian murid serta mewujudkan gagasan Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) bagi membina murid yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut giat mempromosikan inisiatif Sekolah Tanpa Tunai bagi menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan terutamanya dalam kalangan murid.

Menurut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, pertandingan ini bukan sekadar satu acara biasa, tetapi merupakan satu wadah atau platform yang membawa gagasan kepada pendidikan negara yang cemerlang, didukung oleh generasi muda yang penuh berbakat, gigih dan berdaya saing.

“Saya percaya bahawa nilai kepelbagaian dan kebersamaan yang ditanamkan dalam diri setiap peserta akan menjadi asas kepada pembentukan generasi muda yang bukan sahaja berjaya secara akademik, tetapi juga memiliki kepekaan sosial dan kebijaksanaan emosi.

“Ini sekali gus dapat membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri, di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Pertandingan tersebut menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Jaya muncul sebagai johan Choral Speaking bagi kategori sekolah rendah yang mana turut merangkul kemenangan bagi Konduktor Terbaik dan Skrip Terbaik.

Pertandingan Choral Speaking bagi kategori sekolah menengah pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama yang dinobatkan sebagai johan dan turut memenangi kategori Skrip Terbaik.

Sementara itu, bagi Bicara Berirama kategori sekolah rendah pula, johan dimenangi oleh SK Sungai Bedaun, tempat kedua pula dimenangi oleh SK Felcra Bukit Kepong yang turut memenangi gelaran Konduktor Terbaik dan diikuti tempat ketiga dimenangi oleh SK Bangi.

Manakala kategori Skrip Terbaik Bicara Berirama kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh SK Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Bagi Bicara Berirama kategori sekolah menengah pula, johan dimenangi oleh SMK Agama Kota Kinabalu, tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Kai Chung dan diikuti tempat ketiga oleh SMK Jelapang Jaya.

Bank Rakyat turut menganjurkan Karnival Nuri Madani 2023 Peringkat Negeri di enam lokasi iaitu di negeri Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak dengan penglibatan hampir 12,000 murid daripada 70 buah sekolah pada awal September hingga 2 Disember yang lalu.

Selain itu, Bank Rakyat juga menawarkan promosi khusus untuk menghargai para pendidik menerusi Program Cuti-Cuti Cikgu anjuran KPM.

Guru yang layak berpeluang untuk menikmati promosi Kad Kredit-i dengan kadar keuntungan antara terendah di pasaran iaitu lapan peratus setahun serta pelbagai diskaun istimewa lain apabila berbelanja dengan rakan dagang Bank Rakyat.

Untuk maklumat lanjut berhubung Program Cuti-Cuti Cikgu, sila hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau layari laman web www.bankrakyat.com.my atau kunjungi cawangan yang berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI