fbpx

K2

Adakah jatuh talak tersilap respons mesej cerai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lafaz talak melalui aplikasi WhatsApp dikelaskan sebagai kinayah (kiasan). – Gambar hiasan

Saya ingin bertanya, saya bergaduh dengan isteri. Isteri hantar WhatsApp mahu bercerai. Dia tulis berkali-kali, “CERAI….CERAI…..CERAI…..”. Saya baca, saya fobia dan takut. Saya cuba buang mesej perkataan cerai itu.

Namun, entah macam mana tertekan emoji tanda ‘thumbs up’. Saya tiada niat mahu bercerai pun, niat saya hanya untuk buang mesej itu. Adakah sudah jatuh talak? Mohon bantu saya, saya murung sekarang.

JAWAPAN: Allah SWT telah mensyariatkan talak sebagai bentuk penyelesaian yang sangat dibenci untuk digunakan.
Firman Allah SWT: “Wahai Nabi! Apabila kamu hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya.” (Surah al-Talaq: 1)

Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar r. anhuma: “Antara perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Sunan Ibn Majah [2018])
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Terdapat tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh iaitu nikah, cerai dan rujuk.” (Riwayat Abu Daud [2194])

Para ulama membahagikan lafaz talak kepada dua iaitu lafaz sorih (jelas) dan lafaz kinayah (kiasan). Disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji mengenai lafaz talak:

“Sekiranya diperhatikan mengenai lafaz-lafaz yang digunakan untuk menunjukkan talak, maka didapati bahawa lafaz tersebut sama ada lafaz yang menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain, dinamakan lafaz nyata (sorih).

Atau lafaz yang tidak menunjukkan maksud talak secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud lain selain talak, ia dinamakan lafaz kiasan (kinayah). [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2, hlm. 116]

Secara umumnya, setiap lafaz cerai yang dibuat hendaklah dilihat kepada penyempurnaan rukun dan syaratnya bagi menentukan sama ada ia memberi kesan terhadap status dan jumlah talak.

Pada zaman moden ini, tidak dapat dinafikan bahawa bentuk lafaz talak juga terkesan dengan teknologi. Menurut keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos 2003:

“Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, khidmat pesanan ringkas, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ia adalah sah sekiranya disertai niat.

Semua perceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk mensabitkan talak.

Talak dilakukan dengan alat komunikasi moden adalah kaedah perceraian yang tidak menepati adab penceraian digariskan syarak.”

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, lafaz talak yang dihantar atau direspons melalui alat komunikasi, media massa dan sebagainya termasuklah WhatsApp dihukumkan sebagai lafaz talak kinayah. Seperti yang telah disebutkan di atas, lafaz talak kinayah akan menyebabkan jatuhnya talak sekiranya suami tersebut memang berniat menceraikan isteri.

Namun, sekiranya suami tersebut tidak berniat untuk menceraikan isteri atau berniat selain daripadanya, maka tidak jatuh talak. Namun begitu, kami ingin menekankan bahawa mahkamah syariah adalah pihak yang berautoriti dalam mensabitkan hukum talak.

Justeru, kami menyarankan supaya isu ini dirujuk ke mahkamah syariah berdekatan untuk melakukan proses penelitian dan pengesahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI