KUALA LUMPUR – Peluang makin pudar buat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China.
Keadaan itu disebabkan mereka mengalami kekalahan kedua pada saingan peringkat Kumpulan A selepas tewas kepada beregu tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menerusi aksi tiga set 21-19, 18-21, 20-22 sebentar tadi.
Turun berdepan ribuan penyokong tuan rumah, bekas juara dunia itu menampilkan aksi cukup baik di set pertama apabila bangkit mencatat kemenangan 21-19 meskipun pada awalnya ketinggalan 3-7 kepada pasukan lawan.
Kemenangan itu sekali gus menjadi pembakar semangat buat Aaron-Wooi Yik dalam set kedua apabila jauh meninggalkan Yu Chen-Xuan Yi 12-7, namun gagal untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan straight set apabila tewas 18-21.
Memasuki set penentuan, kedua-dua beregu dipaksa bermandi peluh dan saling mengejar selain menampilkan aksi cukup menakjubkan sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton di stadium.
Bagaimanapun, tuah lebih memihak kepada Yu Chen-Xuan Yi apabila berjaya berdepan tekanan ketika penentuan ‘deuce’ dan memastikan kemenangan 22-20 untuk menempah slot ke separuh akhir.
Justeru, Aaron-Wooi Yik perlu mengharapkan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi tewas kepada satu lagi wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam perlawanan sebentar lagi bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya. – KOSMO! ONLINE