KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang tular melanggar empat sekeluarga yang menaiki motosikal di Lebuhraya Besraya, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman denda itu ke atas pereka grafik Mohammad Harith Ismail ,22, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, tertuduh boleh dikenakan penjara empat bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Harith didakwa telah memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di atas jalan raya dengan tidak cermat dan perihatin di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi menghala ke Balakong di sini pada 12.30 tengah hari pada 12 Disember lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum 5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara maksimum 12 bulan.
Terdahulu sebelum hukuman denda itu dijatuhkan, Majistret Fatin Dayana menasihati tertuduh supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memandu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya R.Harvind memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Bagaimanapun, Mohammad Harith yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.
“Saya bukan orang sini, saya tidak arif dengan selok-belok jalan (lokasi kejadian).Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital bersama saksi,” katanya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang pemandu pacuan empat roda yang memandu melulu sebelum melanggar empat sekeluarga menunggang motosikal di Lebuhraya Besraya berhampiran persimpangan Puchong, di sini, ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd .Salleh berkata, kejadian yang berlaku semalam telah menyebabkan penunggang motosikal dan anaknya cedera.
Katanya, sebelum ini pihaknya terkesan rakaman video papan pemuka kenderaan mengenai kejadian terbabit yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE