ISKANDAR PUTERI – Kemunculan seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter di Puteri Harbour, di sini menggemparkan pengunjung di kawasan jeti berkenaan hingga ia menimbulkan kebimbangan ramai di kawasan tumpuan pelancong itu.
Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Maryam berkata, reptilia berkenaan dilihat berlegar-legar berhampiran bot diletakkan di kawasan jeti tersebut.
Katanya, kehadiran buaya itu amat mengejutkan pengunjung sekali gus menimbulkan kegusaran sama ada kawasan beriadah itu selamat dikunjungi khususnya pada hujung minggu.
Kelmarin, tular video yang dikongsikan di Instagram @welovejohor menunjukkan kemunculan reptilia itu menimbulkan kebimbangan ramai.
Terdapat pengunjung yang menyatakan bahawa pekerja di kawasan berkenaan mendakwa pernah menemukan dua ekor buaya di kawasan itu.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kemunculan binatang reptilia berkenaan dan kini sedang menjalankan pemantauan di kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE