TANJUNG MALIM – Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah apabila berjaya menandatangani 32 Surat Niat (LoI) dengan organisasi pendidikan dan komersial antarabangsa.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, usaha proaktif itudilaksanakan bagi meluaskan jaringan antarabangsa dan kepakaran universiti tersebut khususnya dalam bidang pendidikan.
“UPSI memiliki kepakaran dalam bidang pendidikan, malah mempunyai pelbagai kemudahan untuk mengukuhkan kemahiran dan pengetahuan graduan pendidikan yang dilahirkan setiap tahun,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah (CPRI), Prof. Dr. Nordin Mamat berkata, majlis menandatangani LoI itu berlangsung di UPSI di sini dengan kehadiran delegasi-delegasi daripada Komuniti Akademi Indonesia untuk menyempurnakan majlis tersebut.
Katanya, LoI itu akan menguatkan lagi jalinan hubungan bagi semua pihak, malah akan mewujudkan kerjasama dalam beberapa bidang kepentingan bersama yang bereputasi melalui perkongsian yang saling menguntungkan.
“Selain itu kerjasama itu dapat mengangkat pelbagai suara dan isu yang diketengahkan oleh sarjana dan pendidik dalam komunikasi transnasional, serta antara disiplin untuk semua peringkat khususnya pendidikan tinggi ketika dunia pendidikan menghadapi cabaran dan peluang baharu,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan globalisasi dan kemajuan teknologi yang membuka ruang untuk pembentukan semula pendidikan.
LoI itu dimeterai UPSI dengan Komuniti Akademi Indonesia yang merangkumi antaranya Universitas Malikussaleh, Sekolah Tinggi Manajemen IMMI (STIMA IMMI) Jakarta, Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Nida El-Adabi Parungpanjang Bogor, Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Langsa dan juga Universiti Normal Philippines dari Filipina. – KOSMO! ONLINE