fbpx

TFC minat dapatkan khidmat Safawi Rasid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI diperlukan oleh TFC bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu musim depan.

PENGURUSAN Terengganu FC (TFC) berminat untuk membawa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid untuk musim depan.

Sumber rapat TFC mengesahkan pemain berusia 26 tahun kelahiran Dungun itu berada dalam perancangan bagi memperkuatkan lagi skuad Sang Penyu. 

“Kami memang berhasrat membawa pulang beliau (Safawi) bagi memperkuatkan pasukan.

“Bahagian serangan (posisi Safawi) merupakan antara kelemahan utama TFC musim ini,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam. 

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, sebelum ini tanpa berselindung pernah menyatakan minat mahu membawa masuk Safawi bagi memperkemaskan jentera serangannya.

Safawi mula mencipta nama bersama T-Team yang ketika itu dikendalikan  Steinbruckner pada tahun 2015. 

Beliau kemudiannya menarik minat JDT dua tahun kemudian namun penampilannya kini di skuad Harimau Selatan itu semakin terbatas akibat dibayangi kelincahan Pemain Paling Bernilai (MVP), Arif Aiman Hanapi.

Sumber TFC itu berkata, Safawi diperlukan kerana skuad Sang Penyu musim ini terlalu bergantung kepada Ivan Mamut untuk mencetak gol. 

Tambah beliau, seorang lagi penyerang import, Adisak Kraisorn pula dijangka pulang ke Liga Thailand selepas berakhirnya musim ini. 

“Begitupun, setakat ini tiada sebarang perbincangan lanjut demi menghormati kelab asalnya (JDT) memandangkan saingan Liga Super masih berbaki satu perlawanan. 

“Lagipun saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan hanya akan bermula bulan Mac atau April tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, sumber TFC itu memberitahu, beberapa pemain berpotensi lain juga sedang mengenalpasti untuk menyarung jersi TFC musim depan. 

Beliau berkata, setakat ini, TFC telah ‘mengikat’ tiga pemain muda iaitu tonggak pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili, Safwan Mazlan dan penyerang, Syahmi Zamri sehingga penghujung musim 2026. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI