PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan beberapa dakwaan yang dibuat di laman media sosial yang menyatakan subsidi diesel akan dihapuskan bermula 1 Januari 2024.
KPDN menerusi kenyataan akhbar berkata, maklumat yang disebarkan itu adalah tidak benar dan berharap tidak ada pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan mengelirukan orang ramai.
“Untuk makluman, KPDN sedang menjalankan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel melibatkan enam syarikat menerima kuota bagi skid tank mereka yang akan tamat tempoh pada 14 Januari 2024.
“Ia sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.
“Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel seperti mana dirancang,” katanya.
Jelasnya, sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh pihak KPDN dan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel setelah selesai sesi libat urus dan uji lari sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE