BANDAR BAHARU – Satu rangka manusia dipercayai pemandu kren yang dilaporkan hilang pada 30 November lalu ditemui di kawasan semak tepi jalan di Bukit Aping, di sini hari ini.
Rangka manusia tersebut ditemui bersama sebuah motosikal kira-kira pukul 8.45 pagi tadi oleh beberapa pekerja kontraktor pembersihan.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, mayat mangsa bersama motosikal ditemui ketika kerja-kerja pembersihan di situ dilakukan mengunakan jengkaut.
Katanya, pekerja terbabit menemui mangsa pada jarak kira-kira 20 meter dari motosikal sebelum menghubungi pihak polis.
“Ketika anggota polis tiba, motosikal itu didapati berada di dalam semak berhampiran parit dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran motosikal itu ialah KFL 8922.
“Pemeriksaan pada sistem mendapati ia merupakan motosikal dinaiki seorang individu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada hujung bulan lepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azmi berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian motosikal ditunggangi mangsa dipercayai terbabas berdasarkan kesan tayar motosikal pada tebing tanah tempat kejadian yang menuju terus ke arah semak dari arah Serdang ke Bandar Baharu.
“Motosikal itu tersangkut di kawasan semak manakala mangsa tercampak ke dalam parit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE