PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan beliau bertanggungjawab membina ‘lantai’ sebagai sebahagian daripada tugas menteri bagi memastikan rakyat Malaysia menjalani hidup bermaruah.
Dalam konteks ini, di peringkat kerajaan, katanya, kedudukan fiskal negara seperti keberhutangan negara, perbelanjaan pembangunan negara dan seumpamanya disifatkan perlu kukuh dan mampu melalui kejutan ekonomi diluar kawalan.
“Inilah fungsi beberapa kerangka utama reformasi ekonomi yang dijalankan setakat ini seperti penghasilan maklumat sosio ekonomi yang tepat melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), usaha membasmi kemiskinan melalui penjanaan pendapatan, penyasaran semula subsidi dan lain-lain.
“Kesemuanya bertujuan untuk membina lantai yang kukuh,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X rasmi beliau hari ini.
Rafizi berkata, tugas kedua beliau ialah membina tangga supaya anak Malaysia yang berdaya saing berpeluang menaiki tangga itu (tanpa halangan) untuk mencipta nilai ekonomi lebih tinggi bagi dirinya dan negara.
“Yang lemah dilindungi oleh lantai, yang berupaya berpeluang menaiki tangga mencipta kesejahteraan untuk dirinya dan masyarakat.
“Dasar-dasar seperti sektor ekonomi bernilai tinggi daripada peralihan tenaga, digital dan teknologi selain pertanian moden, dasar gaji progresif dan reformasi pasaran kerja adalah komponen tangga yang dipasang satu persatu.
“Tujuannya untuk membina satu persekitaran ekonomi yang menawarkan peluang baru kepada anak dan syarikat Malaysia yang ingin maju,” jelasnya.
Katanya, perkara itu merupakan fungsi sebuah kementerian yang diberi amanah merencanakan ekonomi.
Pada masa sama, PADU akan dibuka kepada orang ramai untuk validasi atau pengesahan maklumat peribadi bermula Januari ini.
Rafizi berkata, kerajaan memerlukan maklumat yang tepat mengenai keadaan sosioekonomi setiap keluarga, tidak cukup hanya dengan maklumat nama dan tempat tinggal.
“Tanpa pangkalan data ini, berapa banyak peruntukan dibelanjakan pun, ia belum tentu dapat memenuhi sasaran sistem bantuan sosial.
“Sebab itu saya fokuskan kepada satu pangkalan data menyeluruh ke arah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE